Panjat pokok cara moden
Oleh Ilham Nusa
MINAT mendalam yang digabungkan dengan kebolehan serta keyakinan diri menjadikan Mohd Amidun Abdul Taib, 40, seorang pemanjat pokok menggunakan teknik moden yang berpengalaman.
Berbekalkan tali dan beberapa kelengkapan lain, tugas memanjat pokok sama ada untuk tujuan pemangkasan termasuk mengambil biji benih atau contoh daun dilakukannya tanpa sebarang masalah.
“Bukan semua orang boleh memanjat pokok yang ketinggiannya mencecah puluhan meter menggunakan tali. Risikonya tinggi dan macam-macam boleh berlaku sama ada terjatuh dan disengat tebuan atau penyengat,” katanya.
Amidun yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memiliki pengalaman 11 tahun dalam bidang berkenaan. Tugasnya mengambil biji benih atau pucuk daun untuk tujuan kajian dan semaian.
Menurutnya, selain mengikuti kursus latihan di dalam negara, Amidun pernah menjalani kursus asas memanjat di Jerman pada 1999 di bawah kendalian juara lima kali sukan memanjat pokok dunia, Bernd Strasser.
Cara memanjat yang dipraktikkan itu lebih kepada teknik moden. Ia bukan saja lebih selamat tetapi tidak memenatkan berbanding kaedah memanjat tanpa sebarang peralatan.
“Selain minat, semangat dan keyakinan, kecergasan adalah antara faktor penting bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang ini.
“Selain itu, penggunaan peralatan berkualiti juga dapat menjamin keselamatan pemanjat. Risiko kemalangan agak tinggi jika menggunakan peralatan tidak bermutu,” katanya.
Peralatan seperti tali memanjat berharga di antara RM3,000 hingga RM5,000. Tempoh masa memanjat juga memainkan peranan penting dalam usaha memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Biasanya pemanjat hanya boleh melakukan kerja di atas pokok untuk tempoh enam jam saja. Selepas itu mereka perlu turun dan berehat sebelum menyambung tugas keesokannya.
“Selain itu sebelum memulakan tugas memanjat kita perlu memastikan tidak terdapat sarang tebuan atau penyengat,” katanya.
Amidun sendiri pernah mengalami pengalaman mendebarkan seperti nyaris terjatuh pada ketinggian 30 meter.
Menurutnya, untuk menambah jumlah pemanjat pokok di kalangan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, setiap tahun Amidun menjadi tenaga pengajar kursus memanjat.
“Saya ingin melihat lebih ramai kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang boleh memanjat menggunakan teknik moden dengan tali dan kasut berpaku.
“Aktiviti itu juga boleh menjadi acara sukan lasak seperti di luar negara,” katanya yang bercita-cita menganjurkan pertandingan memanjat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment